Monday, October 27, 2008

TRANSKRIP PROGRAM “WHAT SAY YOU”

Tajuk : Pembaharuan Kehakiman, Badan Pencegah Rasuah dan Pasukan Polis
Tarikh : 26 Oktober 2008 (Ahad)
Waktu : 1900 ke 2000
Pengantara : Lim Yew Chien
Ahli Panel :
i. YB Teresa Kok Suh Sim Ahli Exco Negeri Selangor dan Ahli Parlimen Kawasan Seputuh

ii. En. Wong Chin Huat
Penganalisis Politik
iii. En. Wong Nai Chee Ahli Majlis Tertinggi MCA

Latar belakang
Indeks Persepsi Rasuah negara ini sering berada di tahap yang tinggi. Masalah rasuah masih berleluasa di negara kita. Agensi yang sering dikaitkan dengan isu rasuah termasuklah polis, imigresen, agensi-agensi penguatkuasaan, kehakiman dan sebagainya.
Apakah langkah-langkah pembaharuan yang harus diambil oleh kerajaan dari segi perundangan, anti rasuah dan pasukan polis ? Sejauh mana inisiatif kerajaan untuk menjayakan reformasi ini?
Apa pendapat anda?
SOAL JAWAB
1. Pengantara: Semasa Perdana Menteri Pak Lah umumkan pelan peralihan kuasa, beliau juga mengumumkan akan berusaha melakukan reformasi dalam tiga perkara dengan masa yang ada padanya selaku Perdana Menteri, iaitu menubuhkan badan khas pelantikan hakim bagi bidang kehakiman, memastikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) lebih bebas dan beroperasi berpandu pada model agensi pencegah rasuah Hong Kong serta Jawatankuasa Pengaduan Khas bagi pasukan polis sebelum beliau menyerahkan kuasa kepada penggantinya.
Untuk merealisasikan ketiga-tiga reformasi ini sebenarnya bukanlah begitu sukar. Ia cuma perlu diluluskan oleh Parlimen dan cara ini merupakan langkah pertama dan perkara asas untuk melaksanakan reformasi ini. Sekiranya mudah, kenapa isu-isu tersebut yang telah dibangkitkan sekian lama tidak kelihatan adanya sebarang proses menuju ke arah reformasi tersebut. Puncanya timbulnya kekangan ini mungkin ramai telah memahami.
Proses pembaharuan menjadi lebih rumit lebih-lebih lagi dalam masa peralihan kuasa ini dan adakah golongan konservatif berkemungkinan akan berusaha untuk menghalang pembaharuan ini ?
Sungguhpun reformasi ini berjaya dilaksanakan, adakah Perdana Menteri baru akan meneruskan usaha reformasi ini ?
Selain itu, adakah PM baru akan mempertingkatkan usaha pembaharuan dalam bidang-bidang lain seperti media, sosial, politik dan sebagainya.
Kita akan mula dengan perbincangan tentang pembaharuan bidang kehakiman, adakah pembaharuan kehakiman merupakan satu perkara yang perlu diutamakan, apa pendapat encik Wong dalam isu ini?
2. Wong Nai Chee: Pembaharuan kehakiman ini merupakan satu tindakan yang wajib diadakan. Lagi cepat lagi baik. Banyak perkara dalam negara ini memerlukan pembaharuan, sekiranya kita bermula dengan bidang kehakiman, ia satu langkah yang baik. Sejak kes Tun Salleh Abas pada tahun 1988, keyakinan rakyat terhadap bidang kehakiman telah merosot. Semua sedia maklum bahawa negara kita sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan yang mana pengagihan kuasa terbahagi kepada kuasa perundangan, kehakiman dan kuasa eksekutif. Kita perlu memastikan ketiga-tiga bidang kuasa ini berfungsi dengan baik.

Bukan sahaja imej ini penting bagi rakyat negara ini, bahkan bagi rakyat asing. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2000 telah menetapkan bahawa mana-mana negara yang ingin dikategorikan sebagai negara maju, salah satu faktor yang perlu diambil kira ialah indeks keyakinan rakyatnya terhadap sistem kehakiman negara mereka.

3. Pengantara: Anda mengatakan sejak 1988, keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara kita telah merosot. Adakah ketidakyakinan ini mempengaruhi kemajuan negara kita?

4. Wong Chin Huat: Keyakinan terhadap sistem kehakiman merupakan satu perkara serius. Negara Taiwan pada satu ketika, rakyatnya menyindir bahawa mahkamah ditubuhkan oleh parti pemerintah, Guo Ming Tang. Bagi kes 1988, orang anggap mahkamah adalah dikendalikan oleh UMNO atau orang Mahathir.

Kenapa tsunami politik berlaku pada 8 Mac yang lepas, salah satu faktor ialah berkaitan dengan pemulihan sistem kehakiman. Pembaharuan ini bukan sahaja penting bagi pembinaan negara, ia juga amat penting bagi BN untuk terus mempertahankan kuasanya.

5. Pengantara: Apa pandangan YB berkenaan kemerosotan keyakinan terhadap kehakiman menjejas kemajuan negara kita?

6. Teresa Kok: Kalau kita lihat tindakan Mahathir memecat lima orang hakim pada tahun 1988, ini satu peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam negara kita. Tindakan ini menyebabkan rakyat meragui sistem kehakiman negara ini, tambahan pula kes video Lingam tahun lepas, merupakan contoh kempen terbaik bagi pembangkang meraih banyak sokongan. Kita sebut sahaja video Lingam, penonton akan sambut dengan correct, correct, correct. Keadaan ini menunjukkan bahawa sistem kehakiman kita telah menjadi satu bahan ejekan rakyat. Ramai telah hilang keyakinan terhadap sistem kehakiman dan hakim-hakim negara ini. Kita juga maklum bahawa banyak perjanjian antara syarikat kita dengan syarikat asing telah ditandatangani di Singapura. Pelabur-pelabur asing juga hilang keyakinan terhadap mahkamah kita.

7. Pengantara: Adakah orang ramai juga meragui keputusan kes-kes komersial di mahkamah kita ?

8. Wong Nai Chee: Kehilangan keyakinan merupakan satu benda yang abstrak. Kita tidak mempunyai satu indeks yang boleh mengukur keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman. Bukan sahaja dalam negara, di luar negara juga kita sering terdengar kata-kata yang negatif terhadap kehakiman negara kita. Ini amat tidak baik kepada sistem kehakiman negara kita.

Dengan in kita dapat merumuskan bahawa pandangan yang lebih subjektif ini merupakan tanggapan orang luar terhadap kehakiman negara kita. Ukuran melalui kes-kes komersial sukar untuk kita mengatakan bahawa orang ramai telah hilang keyakinan terhadap sistem kehakiman negara ini. Walau bagaimanapun, kehakiman terhadap kes-kes berkaitan politik juga merupakan indeks orang ramai mengukur sama ada mahkamah kita ini adil atau sebaliknya.

9. Wong Chin Huat: Tetapi dalam kes video Lingam, mereka yang di belakang tabir ialah ahli korporat, dengan adanya orang politik bersubahat dengan orang korporat, maka selepas kita tahu, siapa yang sebenarnya yang berbaik dengan ahli politik yang menguasai mahkamah, sudah tentunya kita tidak akan menentang kawan kepada ahli politik yang mengawal sistem kehakiman.

10. Wong Nai Chee: Inti pati kes video Lingam ialah judiciary brokerage dan menyusun atur kenaikan pangkat seseorang hakim. Kita telah melihat Perlembagaan yang memberi kuasa kepada PM untuk melantik hakim telah disalahgunakan.

11. Pengantara: Adakah kerajaan yang menubuhkan Suruhanjaya Penyiasat di Raja bagi kes video Lingam ini juga merupakan salah satu usaha kerajaan dalam pembaharuan sistem kehakiman?

12. Teresa Kok: Siasatan yang diumumkan pada bulan Mei lepas, jelas menunjukkan bahawa orang yang muncul dalam video itu ialah Lingam sendiri. Kes ini telah diserahkan kepada Peguam Negara untuk siasatan lanjut, tetapi sehingga hari ini, masih tiada apa-apa keputusan. Ini juga memberi satu gambaran yang jelas bahawa badan kehakiman telah bersubahat dengan badan eksekutif.

13. Pengantara: Apa pandangan Encik Wong tentang dakwaan ini?

14. Wong Nai Chee: Saya tidak meragui keikhlasan PM untuk melakukan reformasi dalam badan kehakiman. Tetapi apabila dikatakan pembaharuan, PM tidak memperoleh satu kriteria yang baik. Beliau tidak melakukan pengubahsuaian dari segi minda politik. Beliau tidak meyakinkan terlebih dahulu golongan konservatif dalam parti yang diwakilinya. Beliau juga tidak meyakinkan terlebih dahulu ahli-ahli kabinet yang dianggap lebih senior. Apabila belum lagi mencapai persetujuan, maka langkah-langkah pembaharuan PM itu didapati tidak selaras di kalangan mereka yang berada di dalam dan di luar parti dan juga menimbulkan timbal balas.

15. Wong Chin Huat: Saya pula rasa tindakan pembaharuan PM adalah terlambat sedikit. Ketika BN menang besar pada tahun 2004, PM harus melakukan pembaharuan secara drastik.

16. Teresa Kok: Sekiranya kerajaan dapat bertindak cepat ke atas kes video Lingam dalam tempoh sebelum pilihan raya umum (PRU) ke 12, keputusan PRU mungkin berbeza.

17. Pengantara: Adakah akan timbul sebarang halangan dalam usaha menubuhkan Suruhanjaya Khas Pelantikan Hakim?

18. Teresa Kok: Dalam zaman Mahathir, beliau telah mengurangkan hak imunisasi pertuduhan raja-raja. Ini merupakan satu peristiwa penting dalam masyarakat Melayu. Tetapi Dr Mahathir mempunyai keyakinan dan kesungguhan untuk melakukan perubahan ini, dan akhirnya beliau berjaya walaupun terdapat sedikit kompromi.

Bagi menjayakan hasrat pembaharuan, PM perlu bertegas seperti apa yang telah dilakukan oleh bekas Presiden Indonesia, Habibi, beliau perlu berpegang kepada perancangan yang dihasratkan untuk melakukan reformasi dan jangan tunduk arau kompromi kepada pihak-pihak tertentu semasa masih memegang jawatan PM.
19. Pengantara: Oleh itu, kata putus adalah dalam tangan PM?

20. Wong Chin Huat: PM memang boleh memberi kata putus dan beliau harus bertegas dan sekiranya pembaharuan ini tidak tercapai, beliau boleh meletakan jawatan dalam bulan Disember, atau memastikan Najib ditentang hebat oleh Tengku Razaleigh Hamzah agar Najib memberi sokongan padu dalam usaha reformasi ini. Ahli politik mesti ada kebijaksanaannya. Saya yakin Datuk Seri Najib mampu menjadi seorang yang boleh membawa pembaharuan. Saya tidak bersetuju dengan pandangan yang menyatakan bahawa beliau akan terikat dengan pengalaman politiknya yang lepas, saya yakin beliau mempunyai pemikiran yang rasional dan mampu berubah mengikut situasi politik tertentu.

21. Wong Nai Chee: Sebenarnya tidak kira zaman mana pun, memang terdapat golongan konservatif politik yang menghalang sesuatu pembaharuan. Dalam sistem pelantikan hakim, PM boleh melantik hakim dengan persetujuan Majlis Raja-raja dan sekiranya JK Khas yang melantik, PM perlu kompromi dan pindaan Perlembagaan perlu dilakukan.

22. Pengantara: Apakah langkah-langkah yang perlu diikuti supaya reformasi dari segi pelantikan hakim dapat dilaksanakan?

23. Teresa Kok: Saya berpendapat kita perlu menjadikan cadangan Majlis Peguam Malaysia sebagai panduan agar satu suruhanjaya yang lebih bersepadu yang diwakili pelbagai pihak seperti Majlis Peguam, NGO, hakim dan agensi-agensi yang berkait rapat dengan kehakiman. Saya percaya pindaan Perlembagaan adalah perlu bagi membolehkan Jawatan kuasa pelantikan hakim ini beroperasi dengan lebih bebas dan diberi kuasa sepenuhnya. Apa yang JK ini cadangkan harus dimajukan kepada Majlis Raja-raja dan perlu diterima oleh kerajaan.

24. Wong Nai Chee: Dari segi pelantikan ahli-ahli yang menduduki JK Khas ini, perlu ada panduan yang jelas dan melantik dari pertubuhan atau perseorangan yang diakui ramai dan yang penting ialah PM perlu menyerahkan kuasa lantikan ini.

Kita tidak boleh anggap reformasi kehakiman telah selesai selepas menubuhkan JK Khas Pelantikan Hakim ini, kita perlu memberikan tumpuan kepada perkara seperti kes-kes tertangguh di mahkamah, kekurangan sumber, kekurangan hakim dan lain-lain masalah yang timbul di mahkamah.

25. Penonton call-in: Reformasi kehakiman boleh dicapai dengan mudah dengan adanya kerjasama antara semua pihak. Prestasi polis sebenarnya telah meningkat, cuma masih belum mencapai tahap kehendak rakyat.

26. Pengantara: Bagaimana pula dengan pelantikan Ketua Hakim Negara yang berkaitan dengan individu yang mempunyai latar belakang politik UMNO, dan bagaimana ia mempengaruhi proses reformasi kehakiman?

27. Teresa Kok: PM kita dalam banyak tindakan pembaharuan tidak begitu konsisten dan tidak mempunyai kesinambungan. Sekiranya PM serius dalam reformasi, Zaki tidak harus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Dalam reformasi badan kehakiman, wakil rakyat pembangkang telah bersedia dan kini terpulang kepada wakil-wakil kerajaan, sama ada benar-benar hendak mengadakan pembaharuan ini. Di samping itu, kuasa rakyat ada penting dan media memainkan peranan dalam hal ini.

28. Wong Chin Huat: Selaku hakim, beliau tidak boleh menimbul keraguan di kalangan rakyat.

29. Wong Nai Chee: Kes Tan Sri Zaki bukan kes berasingan yang cuma berlaku di Malaysia, negara asing juga berlaku. Kita perlu memantau tingkah laku dan percakapan hakim-hakim yang dilantik dan memerhati kelakuan dan keputusannya. Kita perlu memberi peluang kepada hakim ini untuk membuktikan diri. Melalui keputusan yang dibuat, seseorang hakim boleh membuktikan kepada orang ramai bahawa keraguan ini adalah tidak perlu sama sekali.

30. Wong Chin Huat: Faktor yang terpenting di sini ialah faktor keyakinan.

31. Wong Nai Chee: Selama ini Tan Sri Zaki memang tidak melakukan apa-apa yang boleh menimbulkan keraguan dalam kehakiman beliau. Asalkan proses lantikan menepati Perlembagaan, kita harus memberi peluang kepada beliau untuk menunjukkan kebolehannya. Senioriti cuma merupakan salah satu panduan kenaikan pangkat hakim dan banyak lagi faktor lain termasuk kesabaran, moral, kebolehan dan sebagainya juga dipertimbangkan.

32. Teresa Kok: Kita tidak dapat melihat sesuatu landmark judgement yang telah dibuat oleh Tan Sri Zaki. Beliau dilantik terus menjawat jawatan Ketua Hakim Negara, ini menimbulkan keraguan di kalangan orang ramai lebih-lebih lagi beliau seorang peguam UMNO sebelum ini.

33. Penonton call-in: Selain dari undang-undang yang disebut-sebut untuk dipinda, banyak lagi peraturan seperti ISA dan sebagainya perlu dikaji semula agar rakyat lebih yakin dengan kerajaan.

34. Teresa Kok: Saya memang bersetuju, kerana saya juga mangsa ISA. Sekiranya Pak Lah hendak jasanya dikenang, perkara pokok ialah memberanikan diri untuk membuat perubahan di dalam Parlimen. Pindaan akta-akta tertentu harus dibentangkan, saya yakin beliau mampu melakukannya. Sekiranya beliau berjaya, semua rakyat akan mengenang budinya.

35. Wong Nai Chee: Saya berpendapat Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) harus diutamakan dengan pemberian kuasa yang mencukupi untuk badan ini berfungsi.

36. Wong Chin Huat: Banyak pembaharuan telah diperkatakan oleh PM sejak 2004, dan kini apa yang mengelirukan kita ialah sama ada apa yang di katakan beliau itu boleh dipercayai. Dalam tempoh empat tahun yang lepas, hal-hal yang disebut tidak dapat dilaksanakan dan bagaimana pula beliau hendak merealisasikannya dalam tempoh lima bulan yang ada ini.

37. Teresa Kok: IPCMC lebih menyeluruh dan bebas untuk memantau penyalahgunaan kuasa polis manakala Suruhanjaya Khas Pengaduan (SCC) cuma bertindak seperti Biro Pengaduan Awam yang merangkumi semua aduan tentang penguatkuasaan.

38. Wong Nai Chee: IPCMC boleh melaksanakan kuasa dakwaan manakala SCC cuma bertindak seperti posmen. Sebenarnya halangan terbesar penubuhan IPCMC adalah dari polis sendiri. Polis tidak ingin menghilangkan kuasa autonominya.

39. Teresa Kok: Memang tekanan dari pihak polis terhadap PM adalah kuat, ini dapat dilihat dalam laman web polis ketika itu. Kenyataan selepas itu juga berbau perkauman dan politik. Mereka beranggapan kuasa polis telah tercabar dengan adanya satu lagi badan yang boleh mendakwa dan menghukum mereka. Sekiranya PM dapat melaksanakan IPCMC, ini merupakan jasa besar bagi PM dalam mempertingkatkan pasukan polis. Ini juga merupakan satu hasrat politik.

40. Wong Chin Huat: Kita perlu melahirkan pasukan polis yang cukup profesional. Berlaku sahaja kesilapan oleh polis, kerja siasatan automatik bermula seperti di UK.

41. Pengantara: Bagaimana pula dengan kebebasan BPR?
42. Teresa Kok: BPR berharap suruhanjaya yang akan ditubuhkan mempunyai kuasa kebebasan mutlak bermula dari proses siasatan hinggalah pendakwaan. Badan ini harus bukannya bertanggungjawab kepada Jabatan Perdana Menteri, sebaliknya melaporkan kepada Parlimen.

43. Pengantara: Selain dari tiga perkara yang disebutkan untuk reformasi, bagaimana pula dengan lain-lain akta yang mempunyai kelemahan, kenapa pula ia tidak menjadi agenda untuk pembaharuan PM sebelum bersara?

44. Teresa Kok: Sebenarnya dalam UMNO, persaingan begitu sengit sekali. Banyak perkara yang perlukan reformasi telah diabaikan. Kita dapat lihat, ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan majoritinya dari Pakatan rakyat. Walaupun terdapat perbahasan dari wakil BN, tetapi mereka jarang sebut tentang reformasi dan arah tuju negara.

45. Wong Chin Huat: Apa yang penting ialah rakyat harus membuat pilihan sama ada inginkan sebuah masyarakat yang lebih bebas atau sebaliknya. Sebenarnya ketiga-tiga bidang yang dibangkitkan PM merupakan bidang yang memerlukan reformasi yang mana ia adalah dianggap kurang menghadapi rintangan.

46. Wong Nai Chee: Sering kali kita orang ramai tidak mempersoalkan apakah sebenarnya isi kandungan sesuatu akta. Contohnya akta Majlis Media yang akan digubal, ramai tidak mengetahui apakah sebenarnya terkandung dalam akta tersebut. Orang ramai perlu tahu kuasa sebenar sesuatu akta.

47. Teresa Kok: Pakatan Rakyat berharap mendapatkan kerjasama dari wakil BN untuk melakukan pembaharuan.

48. Pengantara: Apakah tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk menjadi lebih telus dari segi media?

49. Teresa Kok: Dari segi negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, kami telah membatalkan klasifikasi rahsia bagi dokumen tertentu untuk memberi peluang kepada laporan media.

50. Wong Nai Chee: Sekiranya kerajaan tidak mementingkan budaya akauntabiliti, apabila taraf pendidikan rakyat semakin tinggi, keyakinan rakyat terhadap kerajaan akan semakin merosot.


Pendapat Penonton:
Bolehkah Pak Lah merealisasikan reformasi dalam tiga bidang yang disebutkannya sebelum beliau bersara?
A. Boleh
B. Tidak boleh

Keputusan:
A 7 %
B 93 %